by

Najib, jangan harap dapat jadi PM semula

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli percaya majoriti rakyat Malaysia tidak pernah melupakan segala penglibatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan skandal kewangan yang didakwanya menyusahkan rakyat.

“Najib mungkin berbangga kerana beliau mendapat sambutan baik di media sosial tetapi jika beliau ingat sambutan itu mencerminkan kecintaan rakyat kepada beliau, beliau salah besar,” ujarnya dalam kenyataan media sosialnya hari ini.

Menurut Rafizi, jika Najib menyimpan cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi, beliau menasihatkan beliau memendamkan sahaja kerana mendakwa Najib ada bakat menjadi badut media sosial seperti sekarang.

“Lebih baik beliau kekal begitu kerana rakyat tidak lupa dengan keangkuhan, kemewahan dan penyelewengan yang berleluasa semasa beliau menjadi PM,” katanya lagi.

Namun, Rafizi mengakui ada perkara yang disuarakan oleh Najib itu kena dengan kehendak rakyat untuk melihat hasil segera pertukaran kerajaan.

Sebab itu, keperluan mendesak sekarang ialah merangka program-program yang boleh membaiki mutu kehidupan rakyat, katanya.

“Pertama, membantu seberapa ramai orang muda mencari pekerjaan dan memadankan mereka dengan seberapa ramai majikan kecil dan sederhana yang memerlukan pekerja. Saya juga percaya kita boleh membantu orang mudah menambah kebolehpasaran mereka tanpa membelanjakan satu sen pun duit kerajaan, seperti yang dibuat oleh Najib.

“Kedua, membantu seberapa ramai rakyat Malaysia mengambil tindakan nekad untuk bertindak ke atas sebarang niat dan idea mereka untuk berniaga. Masalah yang ada sekarang ialah sebahagian besar rakyat Malaysia terutamanya Melayu berkira-kira untuk berniaga tetapi tidak berani, atau cepat gagal,” katanya.

Jika masyarakat kita tanpa campur tangan kerajaan berjaya mewujudkan budaya berani bertindak atas idea perniagaan yang mereka ada, ia akan membawa laba ekonomi dan paling bagus, ia akan meyakinkan orang Melayu dan bumiputera bahawa mereka juga boleh bersaing dalam perniagaan tanpa menuding jari kepada sesiapa, ujarnya.

READ :  Australian senator ‘egged’ after racist comments on mass shooting

“Satu dua tahun dari sekarang, bila usaha itu membuahkan hasil, Najib akan terus merempit di atas kapcai dan di media sosial dan biarkanlah beliau merempit – itu hak beliau, asalkan beliau tidak memakan harta rakyat,” kata Rafizi.-MalaysiaGazette

Comment

News Feed